Pages

Thursday, December 10, 2009

Jauh atau Dekat


Qayyum, seorang pelajar agak tertekan akibat dari masalah-masalah yang menimpa dirinya. Kadang-kadang dia merasakan sudah putus asa dengan hidupnya dan seakan mengalami jalan buntu. Suatu hari, selepas solat isyak berjemaah di masjid, dia berjumpa dengan gurunya untuk mengadu tentang masalah yang dihadapinya. Di ruang legar masjid itu dia mengadukan masalah hidupnya. Dia menumbuk-menumbuk lantai sambil menjerit mengatakan, “Saya memohon dan berdoa supaya Allah menolong saya, tapi ustaz kenapa Allah tidak menjawab dan mengabulkan doa saya?”

Gurunya diam sejenak dan bangun meninggalkan Qayyum pergi ke ruangan yang jauh sedikit darinya. Gurunya duduk di situ dan bercakap sesuatu kepadanya dan menantikan jawapan daripada Qayyum. Qayyum kebingungan kerana tidak mendengari apa yang dikatakan gurunya. Lantas dia bangun dan mendapatkan gurunya dan bertanya, “ Apa yang ustaz cakap tadi..?maaf, saya tak dapat dengar.”

Gurunya dengan tenang menjawab, “ Anakku, kadang-kadang begitulah Allah dengan kita. Kadang-kadang Allah berbisik kepada kita dan kita perlu lebih mendekati Allah untuk mendengar dengan lebih jelas lagi.

Akhirnya Qayyum mengerti.

Kadang-kadang kita inginkan Allah menjawab doa kita dengan segera. Kita inginkan Allah mengabulkan doa kita saat itu juga. Walhal, kita sebenarnya jauh dari Allah.

“Apabila hambaku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila mereka berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka memenuhi(perintah)Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka mendapat petunjuk.” ~ Al-Baqarah 186~

0 comments: