Pages

Tuesday, June 18, 2013

Adakah benar Nabi Idris nabi yang kedua?

Teringat lagu nasyid Raihan yang bertajuk 25 Rasul. Lagu itulah antara penyebab kita boleh mengingati urutan setiap nabi dan rasul yang diutuskan Allah. Tapi adakah kita tahu ulama sebenarnya berbeza pendapat tentang bilakah Nabi Idris diutuskan. Jom ikuti perbahasan berikut. :)

1- Pendapat pertama dari jumhur ulama mengatakan ianya selepas Nabi Adam dan sebelum Nabi Nuh iaitu nabi yang kedua. Mereka meletakkannya mengikut turutan seperti Adam, Idris, Nuh, Hud, Salih... hingga akhir. Namun, mereka tidak mempunyai dalil yang yang sarih dari Quran mahupun dari Hadis yang sahih.

2- Pendapat kedua dari ulama ialah mereka mengatakan Nabi Idris diutuskan mutaakhir iaitu dari keturunan Bani Israil, iaitu selepas Nabi Daud dan Nabi Sulaiman. Dan pendapat inilah yang kami (penulis) lebih cenderung untuk mengatakannya rajih, wallahu 'alam.Dan dalam kitab kami ini tidak meletakkan kisah Nabi Idris selepas nabi Adam dan sebelum Nabi Nuh sepertima mana mereka (penulis kisah nabi-nabi) yang lain bila menceritakan kisah-kisah nabi di dalam al-Quran. Ini kerana kami berpandangan Nabi Idris ialah di kalangan nabi-nabi Bani Israil iaitu selepas Nabi Daud dan Sulaiman dan sebelum Nabi Zakaria dan Yahya.

Antara dalilnya ialah ;

i- Al-Quran menyebut tentang perihal Nabi Idris dalam Surah Maryam selepas menyebut perihal Nabi Ibrahim, Musa dan Ismail. Begitu juga dalam Surah al-Anbiya disebut namanya (Idris) kemudian, iaitu selepas Nabi Ibrahim, Luth, Daud, Sulaiman dan Ayub. Selepas itu barulah disebut perihal mengenai Nabi Yunus, Zakaria, Yahya dan Isa.

ii- Disebut dalam hadis ketika nabi Mikraj, hadis dari Sahih Bukhari dan Muslim, daripada Malik bin Sa'sa'ah. Ringkasan hadis itu, bila mana Rasulullah memberikan salam kepada setiap nabi yang ditemuinya di setiap lapisan langit, hanya Nabi Adam dan Nabi Ibrahim yang membalas salam Rasulullah dengan ucapan, "مرحبا بالنبي الصالح والإبن الصالح" sebaliknya 5 Nabi yang lain iaitu Nabi Isa, Yusuf, Idris, Harun dan Musa membalas dengan ucapan "مرحبا بالنبي الصالح والأخ الصالح".

Nabi Adam menggunakan perkataan 'Ibn'(Anak) kerana baginda ialah bapa kepada sekalian manusia. Manakala Nabi Ibrahim juga menggunakan perkataan 'Ibn' kerana baginda bapa segala nabi-nabi. Sedangkan 5 nabi yang lain menegur Rasulullah dengan panggilan 'Akh' (saudara). Ini menunjukkan Nabi Idris ialah antara nabi yang akhir diutuskan, kerana jika baginda diutuskan selepas Nabi Adam dan sebelum Nabi Ibrahim nescaya baginda akan menggunakan ungkapan 'Ibn' sepertimana ungkapan Nabi Adam dan Ibrahim.

Antara yang menyebut tentang perkara ini ialah Al-Qadhi Abu Bakar bin Al-Arabi. Pendapat ini dinaqalkan oleh Al-Imam Al-Qurtubi di dalam tafsirnya bahawa Al-Qadhi menyebut, " Siapa dari kalangan ahli sejarah yang mengatakan Nabi Idris diutuskan sebelum Nabi Nuh, maka dia telah melakukan kesilapan."

(Al-Qasasul Qurani, Dr Salah Al-Khalidi, Terbitan Darul Qalam, Cetakan Ketiga 2011,m/s 92-94)

0 comments: