Pages

Friday, May 27, 2011

Karamah Vs Istiqamah



Ada banyak cerita yang pernah diceritakan kepada saya atau yang saya sendiri baca tentang karamah ini. Secara jujur saya kagum dab berangan-angan alangkah bertuahnya jika aku tergolong dalam orang yang ada karamah ini. Saya ingin berkongsi tentang satu cerita yang saya pernah saya baca satu masa dahlulu dalam majalah solusi berkenaan tajuk ini.

Cerita ini berlaku di satu tempat pengajian agama, boleh dikatakan pondok atau pesantren. Di situ ada seorang guru yang telah lama berkhidmat mengajar tentang ajaran islam. Mungkin bersilih ganti pelajar-pelajar yang berguru dengannya. Namun dia tetap berada di situ berkhidmat untuk pelajar-pelajar. Suatu hari ada seorang pelajarnya secara kebetulan pergi ke satu pesantren yang lain yang berdekatan. Pelajar tersebut melihat guru di pesantren tersebut mempunyai karamah yang agak menakjubkan seperti kapur menulis sendiri tanpa perlu dipegang. Pelajar itu amat kagum dan balik ke pesantrennya dan menceritakan kepada kawan-kawannya yang lain. Sepertinya juga kawan-kawannya turut kagum dengan cerita itu.

Selepas kejadian itu kebanyakan pelajar membanding-bandingkan guru mereka dengan guru yang ada karamah tersebut. Mereka merasakan guru mereka yang berkhidmat berpuluh-puluh tahun itu kurang hebat ilmunya kerana selama mereka belajar tidak pernah terlihat karamah guru mereka. Jadi mereka berpakat pada suatu hari untuk bertanyakan hal itu kepada guru mereka.

Mereka mula bertanya berkenaan hal tersebut kepada guru mereka. Mereka mempersoalkan kenapa guru di pesantren itu mempunyai karamah sedangkan guru mereka tiada apa-apa karamah yang menunjukkan kehebatan ilmunya. Guru tersebut hanya tenang ketika soalan itu ditanyakan kepadanya.

Keesokan harinya dengan izin Allah semasa guru tersebut mengajar dan menulis di papan hitam, dia melepaskan tangan yang memegang kapur dan kapur tersebut tidak jatuh malah terus menulis perkara yang dicakapkan. Lantas, pelajar-pelajarnya kagum dan gembira melihat keadaan itu. Mereka kembali yakin kepada guru mereka itu kerana juga mempunyai keramah.

Melihat suasana tersebut guru itu berkata, "Kamu terlalu kagum melihat sebatang kapur yang hanya berdiri dan menulis untuk beberapa saat, sedangkan aku yang berdiri selama berpuluh-puluh tahun ini di depan kamu mengajar kamu tidak kamu pedulikan."

Itulah satu contoh cerita tentang karamah yang saya masih ingat sampai sekarang. Pengajaran yang boleh diambil dari kisah tersebut antaranya:

1- Mindset yang selalu ada dalam kepala kita ialah karamah adalah penentu kehebatan ilmu seseorang guru. Kita akan mudah kagum dan percaya kepada seseorang jika dia mampu melakukan sesuatu yang di luar kemampuan manusia biasa. Lantas kita yakin akan kebenarannya. Sabagai contoh apabila kita melihat seseorang boleh berjalan di atas air, kita akan kagum dan berkira-kira apakah amalannya. Dan kadang-kadang kita seronok jika kita mempunyai kebolehan-kebolehan tersebut. Inilah mindset kita yang perlu diubah kerana ada juga kebolehan-kebolehan tersebut bukan datangnya dari Allah tetapi dari jin dan syaitan yang ingin menyesatkan manusia. Jadi janganlah kita terlampau kagum dan taksub dengan kebolehan yang sementara itu hingga kita mengabaikan dari mana datangnya kebolehan itu. Hal inilah yang gagal dilakukan oleh masyarakat kita hingga ada yang tertipu dengan bomoh-bomoh yang sebenarnya menggunakan bantuan jin untuk menunjukkan kehebatannya kepada manusia.

2- Jika seseorang terlampau taksub untuk memperoleh karamah, sudah tentu niatnya untuk melakukan amalan tidak tulus kerana Allah. Ingatlah, karamah adalah anugerah yang Allah berikan kepada kita. Kadang Allah telah berikan karamah tertentu kepada kita secara kita tak sedar untuk mengelakkan kita ujub dan riak dengan diri.

3- Yang terakhir yang dapat saya kongsikan ialah Allah tidak pernah menyutuh kamu untuk mencari karamah, tetapi Allah menuntut istiqamah daripadamu. Tiada dalam nas-nas yang menyatakan orang yang mempunyai karamah akan berada di tempat yang mulia di sisi Allah kelak. Tiada. Yang ada ialah Allah mengasihi amalan seseorang yang istiqamah walaupun sedikit amalannya.

Semoga kita tergolong dalam golongan orang yang istiqamah kerana karamah yang paling agung ialah jika kita berjaya istiqamah dalam amalan dan di dalam perjuangan Islam.

0 comments: